KUALA LUMPUR, 11 Mac: Perbincangan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum merupakan antara 15 tuntutan asas yang masih dalam perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu kata Timbalan Perdana Menteri, perbincangan juga melibatkan mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), hak negeri ke atas pelantar benua, obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai III, Senarai Bersama, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Duti Setem dikenakan ke atas instrumen pemindahan, caj, menyewakan tanah di bawah Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) dan Kanun Tanah Sarawak (Bab 81).
“Pertambahan perjawatan perkhidmatan awam Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Negeri Sabah dan Sarawak, Pembangunan Sempadan Sabah – Sarawak – Kalimantan, pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, Cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan mengenai ubah suaian bagi Sabah dan Sarawak mengenai pembahagian kuasa perundangan, Cadangan pindaan item 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan kepada Senarai III (Bersama), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, isu kesihatan, pendidikan dan penukaran status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke Pelabuhan Negeri,” jelasnya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika Penggulungan Menteri pada Sidang Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak mesti mempunyai tahap ketersediaan yang baik membabitkan sudut operasi, sumber manusia dan kewangan sebelum suatu perkara atau tuntutan asas di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) dapat diselesaikan.
“Aspek ini penting bagi memudahkan dan sekali gus menyegerakan penyelesaian kepada semua tuntutan mengenai MA63.
“Bagaimanapun tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara atau tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, tuntutan yang selesai sebahagian atau interim melibatkan Kajian Semula Pemberian Khas bagi Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D sebanyak RM300 juta.
“(Bagi perkara perbincangan yang ) telah mempunyai keputusan dasar (pula melibatkan) tiga perkara iaitu pemberian kuasa mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta kuasa mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman (Pindaan Perlembagaan Persekutuan),” katanya. -TVS.