KUALA LUMPUR, 11 Mac: Status 10 perkara yang menjadi perbincangan dalam tuntutan asas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diselesaikan sepenuhnya, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, ia melibatkan penyerahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada Kerajaan Sarawak, penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah, pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, turut mencapai kata sepakat ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) dan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
“Selain itu ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika Penggulungan Menteri pada Sidang Parlimen di sini hari ini.
Berhubung pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman, Fadillah menjelaskan ia salah satu perkara tuntutan asas MA63 yang dibincangkan dalam platform perundingan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63) yang dipengerusikan beliau.
“Perkara 122AB memperuntukkan kuasa melantik Pesuruhjaya Kehakiman tertakluk kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Persekutuan.
“Proses perlantikan yang diamalkan sekarang ialah merangkumi rujukan dan persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri terlebih dahulu sebelum perlantikan dilaksanakan,” jelasnya.
Tambahnya, cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menginstitusikan amalan tersebut masih dalam perbincangan dan penelitian kerajaan.
“Perkara tuntutan asas bagi MA63 akan terus dipantau oleh Jawatankuasa teknikal di bawah MTPMA63 sehingga penyelesaian memuaskan hati semua pihak yang terlibat dicapai,” tambahnya. -TVS.