KUALA LUMPUR, 11 Mac: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan harga dan perolehan ubat-ubatan terkawal susulan negara belum berkeupayaan menghasilkan sendiri ubatan generik.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM setakat ini telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu kerajaan mengurangkan kos perolehan ubat.
“Pertama, perolehan ubat dengan kontrak tiga tahun (yang) memberikan faedah dan manfaat besar kepada kerajaan iaitu menjimatkan kos (serta) mendapatkan tawaran harga yang lebih stabil dan tidak berlaku kenaikan harga sepanjang tempoh berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Lukanisman menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (Barisan Nasional – Tampin) yang meminta kementerian menyatakan tindak balas berhubung ramalan peningkatan harga ubat-ubatan serta produk farmaseutikal sekitar lima hingga 10 peratus.
Sementara itu beliau memaklumkan bagi mengelakkan kos berulang perolehan seperti pengiklanan tender, pemantauan kontrak yang lebih efektif akan dilakukan bagi mengelak terputusnya bekalan perkhidmatan sekiranya berlaku proses tender baharu.
Berhubung harga ubat-ubatan, Lukanisman berkata, produk farmaseutikal berada di luar kawalan KKM kerana dipengaruhi oleh faktor ekonomi seperti kadar tukaran wang asing, kos penyelidikan dan pembangunan serta masalah pengilangan.
“Kerajaan juga telah melaksanakan perolehan secara bersama dengan hospital pengajar di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
“Perolehan bersama tiga kementerian ini memberikan anggaran penjimatan sebanyak RM179.6 juta bagi tempoh perolehan bagi 2020 hingga 2022,” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Lukanisman memaklumkan, kerajaan masih di peringkat perancangan dan kajian untuk menghasilkan ubat-ubatan generik susulan kosnya yang tinggi. – TVS