KUALA LUMPUR, 11 Mac: Polis menerima sebanyak 63 laporan berhubung kes menghina Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Serian (Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem) secara khusus bertanya tentang adakah sudah dimulakan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat kerana perbuatan menghina Yang Amat Berhormat Premier Sarawak.
“Saya mengesahkan bahawa sejumlah 63 laporan polis diterima berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Zul Amali Husin yang menghina Premier Sarawak melalui aplikasi Youtube,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Penggulungan Menteri pada sidang Parlimen hari ini.
Tambah Saifuddin, kes berkenaan masih dalam siasatan.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Premier Sarawak, John Nyigor membuat laporan polis terhadap seorang individu menggelarkan dirinya Bozz Jebat (Zul Amali Husin) yang disifatkan biadab dengan merendah-rendahkan Abang Johari.
Puluhan laporan turut dibuat di seluruh Sarawak dan Zul Amali akhirnya tampil memohon maaf kepada Abang Johari. -TVS