KUCHING, 11 Mac: Ketua masyarakat di Sarawak tertakluk di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 dan boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka menyalahgunakan pengaruh dalam hal berkaitan projek atau pembangunan di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)) Datuk Abdullah Saidol berkata sekiranya didapati terlibat dalam salah tadbiran, pemimpin berkenaan tidak terlepas daripada tindakan di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023.
“Pemimpin masyarakat juga ada hak untuk buat aduan jika mereka mempunyai bukti bahawa tindakan oleh agensi negeri itu tidak memihak kepada kepentingan awam (di bawah peruntukan ordinan ini) dan ia boleh disiasat.
“Kadangkala (aduan dibuat berikutan) keputusan yang tidak adil melibatkan soal tanah dan peruntukan. Masyarakat perlu tahu hak mereka untuk buat aduan tapi janganlah ikut emosi dan fitnah, pastikan ada fakta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Siri Jelajah dan Penjelasan Isu-isu Semasa anjuran UKAS dan Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.
Sarawak menjadi negeri pertama yang melaksanakan undang-undang Ombudsman di negara ini apabila rang undang-undangnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) November lepas.
Abdullah berkata pentadbiran menerusi digital kerajaan Sarawak ialah langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan ketelusan dalam memberikan bantuan kepada rakyat.
“Kita tak nak dengar ada pakai ‘kabel’ dan pakai pintu belakang (menggunakan pengaruh untuk mendapatkan bantuan atau peruntukan)…kita percaya menerusi pentadbiran digital akan ada banyak ketelusan, jadi surat sokongan dah tak laku sekarang ini,” katanya.
Terdahulu, sesi jelajah berkenaan mengupas dua topik utama berkaitan inisiatif kerajaan Sarawak iaitu Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan siginifikan tenaga hijau di negeri ini.