KUCHING, 11 Mac: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak maklum mengenai kekurangan bilangan guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Iban.
Pengarahnya, Datu Dr Azhar Ahmad berkata kekurangan itu dihadapi terutamanya di sekolah rendah.
“Namun bagi Bahasa Cina, tidak mempunyai sebarang masalah untuk keseluruhan sekolah rendah dan menengah,” katanya ketika ditemui selepas Program First Day at School di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kes dadah yang melibatkan pelajar, beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pada masa sama mengulang kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan mengenai pendekatan tiada pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung pada minggu pertama persekolahan.
Seramai 416,008 pelajar dan murid memulakan persekolahan bagi sesi 2024/ 2025 di Sarawak. – TVS