KUCHING, 11 Mac: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menggesa semua pihak menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Menterinya, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, jika polemik ini berterusan, ia akan mengganggu-gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
“Pada November 2023, Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
“Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, beliau turut menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.
Selain itu, tegas beliau lagi, sekolah vernakular bukanlah satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan.
“Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.
“Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron menambah, KPN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan KPM, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.
“Sehingga kini, Kementerian dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara,” katanya.
Oleh itu, menurut Aaron, pada tahun ini, kementeriannya menerusi agensi akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya ia menjadi amalan hidup seharian. – TVS