Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol ketika melakukan kunjungan hormat kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

HAWANA 2024 platform dedah perkembangan pembangunan Sarawak kepada warga media Semenanjung

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 11 Mac: Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Sarawak disifatkan sebagai platform terbaik kepada negeri ini dalam mendedahkan transformasi dan perkembangan terbaharu yang dialami Bumi Kenyalang kepada warga media terutamanya mereka dari Semenanjung Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah persidangan selama tiga hari itu juga turut membuka ruang kepada pengamal media dari Semenanjung Malaysia untuk memahami masyarakat negeri ini dengan lebih dekat.

Datuk Abdullah Saidol ketika melakukan kunjungan hormat kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini. Foto TVS

“Saya dimaklumkan seramai 300 wartawan akan hadir pada HAWANA 2024, kita (Sarawak) ambil kesempatan ini untuk menerangkan perkembangan terbaharu negeri ini dari segi pembangunan, pelancongan dan lain-lain.

“Kita juga ambil peluang ini untuk mendedahkan mengenai apa yang berlaku, bukan sahaja melibatkan polisi dan perancangan pembangunan tetapi juga berkenaan dengan bagaimana untuk memahami masyarakat Sarawak.

“Apabila mereka pulang, warga media akan lebih memahami tentang jiwa dan pemikiran orang Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon.

Menerusi kunjungan hormat itu, Abdullah berkata, Abang Johari menyatakan persetujuan bahawa separuh daripada kos penganjuran HAWANA 2024 akan ditanggung kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, bersempena HAWANA 2024, Sarawak bakal menganjurkan persidangan media pertama.

Menurutnya, HAWANA 2024 akan dilangsungkan di Plaza Merdeka dari 25 hingga 27 Mei, manakala Persidangan Media Sarawak 2024 pula akan berlangsung pada 24 hingga 27 Mei di Hotel Pullman.

Acara kemuncak HAWANA 2024 itu nanti ialah pameran berkonsepkan paparan perjalanan, pengalaman dan pengorbanan wartawan yang akan dipertontonkan kepada orang awam.

Kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari dijadualkan hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Hawana 2024.

Selain itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dijadualkan akan menghadiri Majlis Makan Malam di Hotel Riverside Majestic pada 26 Mei. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan