KUCHING, 11 Mac: Hari pertama persekolahan, terutama dalam kalangan murid-murid Tahun Satu, pelbagai ragam dapat disaksikan di sekolah.
Ada yang riang dan gembira bertemu dengan kawan-kawan baharu malah tidak kurang ada yang menggenggam erat tangan ibu dan bapanya meminta agar tidak ditinggalkan.
Tinjauan TVS di Sekolah Kebangsaan Satria Jaya di sini mendapati ada dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka tidak sampai hati untuk meninggalkan anak mereka di sekolah kerana ada yang menangis.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Satria Jaya, Alex Pega Mahda berkata pihaknya mengambil inisiatif untuk memastikan bahawa persiapan menyambut murid-murid baharu berada dalam suasana kondusif dan ceria.
“Sempena selamat kembali ke sekolah kita ada pelbagai aktiviti menarik dan pengisian untuk mewujudkan suasana yang kondusif untuk anak-anak sekolah ini.
“Dari segi PIBG kita memastikan semua sumber sokongan oleh sekolah disediakan termasuk untuk guru dan murid-murid,” katanya ditemui sempena Program ‘Back to School’ 2024 di SK Satria Jaya, hari ini.
Tambah Alex, beliau dan isteri membuat perancangan awal dan rapi dalam persediaan persiapan ke sekolah.
“Bagi saya sebenarnya dari segi perbelanjaan adalah perancangan awal dan teliti sebab jika kita mengeluarkan perbelanjaan ini di peringkat akhir pembelian saat akhir ini mungkin akan membebankan,” ujarnya.
Statistik pendaftaran murid Tahun Satu untuk Sesi Persekolahan 2024 di SK Satria Jaya adalah seramai 132 orang dan jumlah keseluruhan murid sekolah berkenaan ialah 800 murid. – TVS