Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika sidang media selepas merasmikan Quick Facts Book 2023 dan Calendar of Events 2024 hari ini. Foto TVS

Fasiliti sukan bertaraf antarabangsa, Sarawak mahu jadi kuasa besar sukan – Abdul Karim

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 11 Mac: Sarawak berhasrat menjadi kuasa besar sukan dengan adanya fasiliti sukan bertaraf antarabangsa, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, beberapa fasiliti sukan di Sarawak sedang dinaik taraf dan sedang dalam pembinaan bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Hasrat kita adalah untuk Sarawak menjadi kuasa besar sukan dan kita sedang menuju ke arah itu. Kalau kita lihat dari segi kemudahan fasiliti sahaja, saya percaya Kompleks Sukan Sarawak yang terdapat di Petra Jaya adalah satu kompleks sukan terbesar di Malaysia dalam satu tempat. Tidak ada negeri lain yang mempunyai fasiliti sedemikian di satu tempat.

“Fasiliti sukan yang sedang dalam pembinaan ialah Sport Village yang pada masa ini lebih kurang 90 peratus siap, dewan wushu, ragbi dan juga kriket yang akan  dapat digunakan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan diadakan dalam bulan Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Quick Facts Book 2023 dan Calendar of Events 2024 di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, pembinaan stadium velodrom bersebelahan dengan kompleks sukan di Petra Jaya bakal melengkapkan kemudahan sukan di Sarawak memandangkan ia satu-satunya fasiliti yang belum terdapat di negeri ini.

“Selain daripada itu, bersebelahan dengan kompleks sukan sudah diluluskan oleh Kerajaan Negeri adalah pembinaan sebuah stadium velodrom ataupun gelanggang untuk lumba basikal. Itu adalah satu-satunya fasiliti sukan yang belum ada di Sarawak. Kalau sudah ada velodrom nanti, fasiliti kita boleh dianggap sebagai lengkap. Kemudian kita boleh menganjurkan apa-apa sukan antarabangsa. Pada masa ini, yang lain-lain semua sudah ada,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kompleks sukan mini juga sedang dibina di beberapa bahagian di seluruh Sarawak yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi memupuk minat dan mencungkil potensi anak-anak muda di setiap pelosok negeri ini.

Pada masa sama Abdul Karim turut mendedahkan Jawatankuasa Kerja SUKMA 2024 telah bermesyuarat dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan bagi menentukan sumbangan Kerajaan Pusat dalam membantu melancarkan penganjuran SUKMA kelak.

“Memang kosnya akan disumbangkan oleh kerajaan negeri, untuk menaik taraf fasiliti, persediaan atlet-atlet dan Kerajaan Pusat juga akan membantu sebahagian daripada kos tersebut.

“Apabila kita berbincang mengenai jumlah yang kita mohon dari Kerajaan Pusat, mereka perlu berbincang dengan Kementerian Kewangan dan sebagainya sebelum memberi kata putus kepada kerajaan negeri dan juga kementerian saya berapa jumlah yang akan diperuntuk. Jadi sehingga jumlah akhir diberikan, saya tidak dapat mendedahkan dahulu,” katanya lagi.

Untuk rekod, SUKMA 2024 akan mempertandingkan lebih 400 acara sukan dan merupakan SUKMA terbesar pernah dianjurkan setakat ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan