KUCHING, 11 Mac: Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak (SHTA) Ke-9 menampilkan beberapa kategori baharu bagi memantapkan usaha menghargai sumbangan terhadap perkembangan industri pelancongan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata anugerah tersebut dijadual berlangsung pada 27 September 2024 bertempat di Hikmah Exchange Kuching dan akan disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“SHTA tahun ini menampilkan lapan kategori anugerah utama dengan 28 subkategori. Saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa tahun ini, SHTA kesembilan akan memperkenalkan beberapa kategori baharu untuk mencerminkan komitmen dalam mengiktiraf serta meraikan kecemerlangan dalam semua aspek industri pelancongan.
“Antara kategori baharu termasuk Spa dan Kesihatan, Pendidikan dan Pelancongan Perubatan, SMM2H serta menampilkan Inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti Terbaik dan Anugerah Khas untuk Kelestarian dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Quick Facts Book 2023 dan Calendar of Events 2024 di sini, hari ini.
Maklumat terkini yang merangkumi proses pencalonan, kriteria dan borang pencalonan boleh diakses secara dalam talian melalui pautan https://shta.com.my/.
Tempoh pencalonan adalah pada 25 Mac hingga 30 April 2024 dan borang boleh dihantar secara dalam talian atau fizikal. – TVS