KUCHING, 11 Mac: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengeluarkan sebanyak 145 saman pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang diadakan mulai 8 Mac berakhir awal pagi tadi di sekitar kawasan Masja, Jalan Astana, Jalan Datuk Patinggi Tun Abang Haji Muhammad Salahuddin dan Jalan Datuk Patinggi Tun Abdul Rahman Yaakub.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, antara kesalahan tertinggi yang dilakukan ialah tiada cermin sisi (34 saman), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (26 saman), ubahsuai struktur/ peralatan kenderaan (20 saman), ubah suai ekzos (18 saman) dan tiada lesen memandu (15 saman).
“Seorang penununggang motosikal lelaki berusia 21 tahun telah ditahan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob kerana melakukan aksi ‘Wheelie’ (mengangkat tayar hadapan motosikal) dengan cara membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
“Sebanyak 21 buah motosikal mempunyai pelbagai keslaahan telah disita di bawah Seksyen 60 (1) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak 190 buah motosikal dan 215 orang telah diperiksa dalam operasi bermula jam 9 malam hingga 5 pagi diketuai Inspektor Muhammad Amirul Azami Ahmad Rasol bersama lima anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuching dan tujuh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.
Katanya, BSPT IPD Kuching akan terus melaksanakan pemeriksaan berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas dalam usaha untuk membendung gejala samseng jalanan dan mengurangkan kadar kemalangan khususnya di daerah Kuching.
“Kita menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.- TVS