SRI AMAN, 10 Mac: Kerajaan Sarawak komited untuk mencapai 100 peratus pengeluaran padi bagi menampung keperluan penggunaan di negeri ini menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu didorong semangat kerja kuat dan sekiranya ada lebihan pengeluaran padi ia boleh dijual ke negara.
Menurutnya, ketika ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan 36 peratus pengeluaran padi.
“Disebabkan itu, Kerajaan Sarawak perlu memberikan peruntukan yang besar dalam penanaman padi yang memerlukan air.
“Sistem pengairan dan saliran memerlukam kos yang besar, Kerajaan Sarawak akan memberikan peruntukan tersebut untuk kita membangunkan secara beransur-ansur projek penanaman padi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai projek jelapang padi oleh Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak di Stumbin Certified Paddy Seeds Production and Processing Centre (SPPS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, bagi kawasan selatan dan utara Sarawak, Kerajaan Sarawak akan mengambil kira masing-masing membabitkan keluasan 10,000 hektar tanaman padi.
“Ini termasuklah kawasan di Limbang dan Lawas dan sebahagian kawasan di Bekenu.
“Sementara di Lembah Selatan membabitkan Simunjan, Gedong dan Sri Aman yang mana saya rasa kita boleh mengenal pasti termasuk memberi peluang kepada orang kampung (petani kecil) untuk penanaman 10,000 hektar padi,” katanya.
Terdahulu Abang Johari meninjau tapak projek jelapang padi milik Advansia (Sarawak) Sdn Bhd dan BERNAS (Sarawak).
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak ,Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli serta dif-dif kenamaan yang lain. -TVS