SABAH, 10 Mac: Penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi sektor swasta di negara ini masih jauh daripada 30 peratus sasaran nasional.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, hampir 26 peratus wanita yang terlibat dalam sektor swasta.
“Pada tahun 2024, kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah hampir 56 peratus berbanding lelaki adalah 81 peratus. Penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi di dalam sektor awam adalah 38 peratus dan dalam sektor swasta hampir 26 peratus, masih jauh daripada 30 peratus sasaran nasional.
“Berdasarkan Dapatan Kerja Tulen Monash University pula, wanita mewakili 20 peratus daripada keseluruhan IKS di Malaysia. Dalam bidang politik Parlimen Malaysia pada masa ini hanya memiliki sejumlah 41 orang Senator dah Ahli Dewan Rakyat ataupun 14.4 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian Persidangan IKS dan Kepimpinan Wanita bersempena Hari Wanita Sedunia 2024 di sini, hari ini.
Tambahnya, berdasarkan data-data tersebut dan disebalik usaha yang telah dicurahkan, masih terdapat ruang yang sangat luas untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.
Sehubungan itu katanya, selaras dengan matlamat Pembangunan Mampan 5: Kesamarataan Gender (SDG 5) pemerkasaan wanita dalam pembangunan ekonomi akan terus diberi perhatian khusus.
“Sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga buruh wanita dan 30 peratus penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi swasta harus dicapai sebelum tahun 2030 untuk mengoptimakan pertumbuhan ekonomi negara.
“Salah satu yang akan diambil oleh kerajaan adalah dengan menerokai ekonomi penjagaan atau care economy untuk kanak-kanak, orang kelainan upaya dan warga emas,” ujarnya.
Katanya lagi, inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kewujudan, penglibatan dan kualiti penjagaan kepada golongan khusus ini, namun ia sekali gus akan memberi lebih banyak ruang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam semua sektor ekonomi.
Perkara ini perlu melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, sekor swasta, institusi-institusi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di setiap peringkat. – TVS