TANJUNG MANIS, 10 Mac: Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjalinkan kerjasama untuk melaksanakan projek empesut atau irrawady dolpin di Delta Rajang sebagai usaha pemuliharaan hidupan marin itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah itu sebahagian inisiatif penting untuk melindungi alam sekitar selain melonjak potensi kawasan itu dalam sektor eko pelancongan.
Aspirasi itu katanya, juga selaras dengan usaha kolektif kerajaan untuk memastikan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi di Delta Rajang dan kawasan sekitarnya kekal terpelihara.
“Dalam perkembangan berkaitan, penglibatan komuniti tempatan juga sangat penting bagi merealisasikan hasrat ini.
“Kelestarian alam semula jadi Delta Rajang menjadi penarik kehadiran empesut apabila haiwan berkenaan sering kali dilihat ‘bermain-main’ di kawasan itu,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Hutan Sedunia di sini, hari ini.
Beliau berkata, kehadiran empesut bukan sahaja menambah nilai Delta Rajang dalam eko pelancongan tetapi juga menjadikan tapak yang kaya dengan hutan paya bakau itu sebagai salah satu lebuh raya ikan lumba-lumba popular di Bumi Kenyalang.
“Saya menggesa kerjasama semua pihak bagi memastikan usaha ini (pemuliharaan) dapat dilakukan dengan sempurna dan lancar. Langkah bersepadu ini sebenarnya sangat penting supaya ‘aset semula jadi ini, kekal terpelihara untuk generasi yang akan datang,” katanya.
Untuk rekod, empesut merupakan haiwan yang dilindungi di bawah undang-undang Sarawak dan memerlukan lesen pemburuan.
Pemburu haram yang disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda RM25,000 ataupun dua tahun penjara.- TVS