Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ibarat 'spiderwoman', tugas yang dilaksanakan Faidalul memerlukan beliau memanjat bangunan tinggi. Foto Zaim Zharfan (TVS).

SIRI 1 – Hari Wanita 2024: Hala tuju wanita masa kini

ByNur Suhaida Muliyono

BUYA Hamka pernah berkata, wanita adalah tiang negara. Jika wanita baik, maka baiklah negara. Namun jika wanita bobrok maka bobroklah negara.

Bagaimana kita menilai insan bergelar wanita agar pedoman yang diperoleh tidak sirna?

Laporan khas yang disediakan Aida Muliyono dan jurukamera Zaim Zharfan sempena sambutan Hari Wanita mengupas perjuangan kaum hawa dari dua figura hebat – Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis dan juruteknik akses tali, Faidalul Zakiah.

[SIRI 1] Hari Wanita 2024, Hala tuju wanita masa kini | TVS

Wanita boleh memimpin

Menurut Deputi Superintendan (DSP) Jawai Francis, golongan lelaki dan wanita tidak seharusnya disifatkan sebagai dua personaliti berbeza.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis. Foto Zaim Zharfan (TVS).

Hal ini kerana pada masa kini, wanita juga berperanan dan memiliki pencapaian yang setara dengan golongan lelaki termasuk sebagai seorang pemimpin.

“Wanita berperanan penting dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Namun saya akan menekankan tentang kepimpinan.

“Kita dapat lihat bahawa sekarang ini ramai pemimpin wanita – menteri-menteri, ketua-ketua jabatan dan sebagainya. Kalau kita lihat daripada dulu sehingga sekarang, sangat banyak perbezaan. Ini bermaksud pemartabatan wanita itu semakin adil sekarang,” ujar beliau.

 

Jatuh bangun dengan anak-anak

Ibu kepada enam orang cahaya mata berbangsa Iban itu memegang jawatan Ketua Polis Daerah Bau sejak Julai 2023 dan telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 27 tahun.

Beliau dalam pada itu menyifatkan peranan seorang ibu dan tanggungjawab kepada negara merupakan satu cabaran sebagai seorang wanita bekerjaya.

“Saya ada enam orang anak, jatuh bangun saya dengan anak-anak itulah. Tak semua anak itu sama dan adalah suatu cabaran yang sangat besar bagi diri saya sebab saya dan suami bekerja.

“Tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak pernah mengenal erti gagal. Saya berbangga dengan diri saya kerana dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan bimbingan, dengan bantuan suami juga.

“Saya sudah pun memberi dan menjadi contoh yang terbaik bagi anak-anak dan saya mahu semua itu dipraktikkan oleh ibu-ibu yang bekerja supaya mereka juga boleh membawa diri,” jelasnya lagi.

 

Minat aktiviti lasak sejak kecil

Ibarat lakon layar masa kini, watak utama dipegang srikandi, tugasan berat dan lasak bukan lagi halangan buat golongan teristimewa ini.

Bagi juruteknik akses tali, Faidalul Zakiah, melakukan pekerjaan yang majoritinya dimonopoli kaum lelaki bukan perkara yang mudah.

Juruteknik akses tali, Faidalul Zakiah. Foto Zaim Zharfan (TVS).

Ibarat ‘spiderwoman’, tugas yang dilaksanakan Faidalul memerlukan beliau memanjat bangunan tinggi.

Berkongsi cerita, Faidalul berkata dalam melaksanakan tugasnya, beliau perlu mempunyai daya pemikiran dan fokus yang tinggi.

“Mula-mula memang ada perasaan takut dan gayat, tetapi anggap biasa sahaja. Semakin kita fikirkan perasaan takut, itulah yang membuatkan kita takut untuk buat pekerjaan itu.

“Jangan pandang bawah. Fokus sahaja ke hadapan. Kalau kita pandang bawah, dalam keadaan tinggi, kita jadi takut. Turun (tali) perlahan-lahan dan jangan banyak fikir. Fokus,” katanya.

 

Pernah diminta tinggalkan kerjaya berbahaya

Tambah ibu tunggal itu juga, beliau pernah diminta untuk meninggalkan karier berisiko itu serta dituntut mencari peluang pekerjaan lain.

Ibarat ‘spiderwoman’, tugas yang dilaksanakan Faidalul memerlukan beliau memanjat bangunan tinggi. Foto Zaim Zharfan (TVS).

“Saya pernah bertugas di Sabah dan pada ketika itu COVID-19 baru berlaku, saya terkandas tidak dapat pulang beraya bersama keluarga dan anak. Di sana saya menahan rasa.

“Keluarga ada juga meminta saya untuk tinggalkan kerjaya ini dan cari kerja lain yang lebih dekat, lebih selamat untuk diri saya. Bukan saya tidak mahu tetapi saya sudah selesa dengan pekerjaan ini, jadi saya memberitahu keluarga saya teruskan sahaja kerjaya ini.

“Saya tidak selalu ikut orang turun (tali), kadang-kadang saya mengajar, memantau orang. Sangat jarang turun (tali). Kalau saya hendak mengekalkan kemahiran saya dan tidak mahu rasa gayat itu hadir, sekali sekala saya akan beritahu dengan rakan saya, saya mahu turun (tali),” ujarnya lanjut.

Di sebalik tuaian kejayaan srikandi ini, adakah mereka terkecuali daripada stigma negatif masyarakat?

Nantikan esok di Utama TVS jam 8 malam, laporan kedua Hari Wanita 2024, Hala Tuju Wanita Masa kini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan