LIMBANG, 9 Mac: Sarawak kekal menduduki tangga teratas di Malaysia dalam Kempen Penanaman 100 juta anak pokok dengan kejayaan menanam sebanyak 32 juta pokok.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata inisiatif Jabatan Hutan itu diadakan di seluruh negara sejak Januari 2021 menetapkan sasaran penanaman sebanyak 100 juta pokok untuk ditanam menjelang 2025.
Kata Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu, daripada jumlah itu Sarawak komited untuk menanam 35 juta pokok menjelang 2025 atau secara purata iaitu 7 juta setahun.
“Daripada jumlah tersebut kerajaan Sarawak telah komited untuk menanam sejumlah 35 juta pokok menjelang 2025 atau secara purata iaitu 7 juta setahun.
“Setakat hari ini, Sarawak melalui Jabatan Hutan telahpun berjaya menanam pokok sebanyak 32 juta 477 pokok,” katanya ketika ditemui media pada Program Arbor Day 2024 di Masjid Jannatul Firdaus Limbang sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Negeri, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Yunus Tambi dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Kata Awang Tengah lagi usaha itu sejajar dengan Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS) yang mengariskan tujuh teras utama mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Jelasnya salah satu daripada teras utama ialah kerajaan negeri ingin memastikan kelestarian alam sekitar terjaga dan seimbang dengan perlaksanaan pelbagai program pembangunan.
Program yang disertai agensi kerajaan dan swasta itu menanam pelbagai jenis pokok termasuk pokok belian, medang, sempilor, bintagor laut, geronggang membabitkan 1,002 anak pokok.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar, meningkatkan hutan bandar, pemuliharaan warisan budaya dan mengurangkan risiko bencana. -TVS