KUCHING, 9 Mac: Sarawak komited dalam membangunkan hab perubatan dan pergigian di rantau Asia dan di dunia, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, industri pergigian di Sarawak berupaya menjadi destinasi pilihan di rantau ini dengan kehadiran perkhidmatan penjagaan pergigian berstandard tinggi dan harga yang kompetitif.
Perkara tersebut katanya, diyakini mampu menjadi kenyataaan, melihat kepada potensi akses pengangkutan melalui udara atau darat yang menghubungkan Kuching dengan destinasi serantau lain.
“Saya percaya dengan infrastruktur perjalanan yang mencukupi yang menghubungkan Kuching dengan destinasi serantau lain, terutamanya di Indonesia.
“Ia ditambah dengan kehadiran perkhidmatan penjagaan pergigian berstandard tinggi dan harga yang kompetitif, Sarawak boleh menjadi destinasi pilihan orang di rantau ini untuk mendapatkan rawatan oral,” katanya ketika berucap di pembukaan Kongres Pergigian Borneo ke-12 dan Pameran Perdagangan di sebkha hotel di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang mewakilinya di majlis itu.
Abang Johari berkata, Sarawak menyediakan penjagaan kesihatan pergigian kepada rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkannya sejajar dengan pertumbuhan ekonomi digital dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada golongan yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan swasta.
“Walaupun menghadapi kesukaran dan cabaran untuk mengakses beberapa kawasan terutamanya di kawasan pedalaman namun mereka tetap komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kita giat menyediakan penjagaan kesihatan pergigian kepada komuniti ini terutamanya di empat bahagian iaitu Miri, Bintulu Limbang dan Kapit.
“Melalui program jangkauan itu, 7.2 peratus penduduk Penan menggunakan perkhidmatan pergigian pada tahun 2022 dan liputan meningkat kepada 24 peratus pada tahun 2023,” jelasnya.
Sehingga 31 Disember 2022, terdapat 436 pegawai pergigian dan pakar dalam perkhidmatan Kerajaan Sarawak dan lima pegawai pergigian bukan kerajaan, daripada jumlah tersebut, seramai 33 pegawai adalah pakar pergigian.
Pada masa ini, terdapat 129 klinik pergigian persendirian pada 2022 dengan 205 pengamal pergigian persendirian di Sarawak. Angka ini menjadikan nisbah penduduk kepada doktor gigi di Sarawak pada tahun 2022 ialah 1:3,829. -TVS