Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengamal undang-undang, Shankar Ram ketika ditemui pemberita TVS di pejabatnya hari ini. Foto Lorenzo Isaac (TVS)

Proses permohonan taraf kewarganegaraan perlu mengikut kesesuaian tempatan – Shankar Ram

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 9 Mac: Proses temu duga lebih santai yang sedang dipertimbangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menambah baik permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian perlu mengambil kira penggunaan bahasa ibunda bagi mempermudahkan golongan tanpa kerakyatan memperoleh status kewarganegaraan.

Pengamal undang-undang, Shankar Ram berkata, seperti di Sarawak, proses temu duga itu boleh menggunakan bahasa Sarawak sendiri serta melantik pegawai-pegawai Sarawak dalam menjalankan proses temu duga itu.

Katanya lagi, langkah itu akan memastikan proses permohonan kewarganegaraan ditetapkan adalah sama-rata.

“Di Sarawak, kita telah menjadi sebahagian daripada persekutuan begitu lama. Adalah wajar untuk melantik pegawai-pegawai dari Sarawak dalam menjalankan temu duga permohonan kewarganegaran itu.

“Perkara ini secara tidak langsung akan membentuk inklusiviti dan orang yang mengikuti temu duga itu akan berasa lebih selesa. Oleh kerana mereka telah tinggal di sini, maka bahasa ibunda mereka adalah bahasa Sarawak.

“Bagi saya, Bahasa Melayu sangat fleksibel dan indah. Namun, memetik contoh daripada beberapa negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, dan Pulau Pinang, mereka mempunyai bahasa dialeknya tersendiri,” katanya ketika ditemuramah pemberita TVS di sini, hari ini.

Tegasnya lagi, Sarawak perlu diberikan autonomi tersendiri dalam menetapkan proses permohonan kewarganegaraan kerana mereka lebih memahami aspek-aspek tempatan yang menentukan sekiranya individu tanpa kerakyatan itu merupakan warga Sarawak.

“Imigresen Sarawak atau pihak berkuasa yang berkaitan dilantik untuk menemu bual golongan ini. Pegawai yang dilantik mempunyai kelayakan yang bersesuaian kerana mereka lebih arif dengan orang tempatan selain fasih dalam Bahasa Melayu.

“Oleh itu, keputusan sebegini sepatutnya diberikan kepada Kerajaan Sarawak untuk menentukan supaya memudahkan golongan tanpa kewarganegaraan di negeri ini dalam permohonan mereka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan penambahbaikan terhadap modul ujian penguasaan Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan pemohon warga emas, bagi permohonan taraf warganegara malaysia secara naturalisasi agar dilihat santai, dengan tidak terlalu berstruktur atau bersifat rejimen serta tegas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu bagaimanapun tidak membabitkan penukaran segmen atau silibus sedia ada yang turut berkaitan dengan pengetahuan asas masyarakat majmuk di Malaysia, sebaliknya bagi mewujudkan suasana penilaian atau temuduga dalam suasana lebih santai kepada golongan sasar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan