KUCHING, 9 Mac: Panel tetap Mahkamah Rayuan diharapkan bakal diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat ini, kata peguambela dan pengarang buku undang-undang, Tan Kee Heng.
Menurutnya sehingga kini terdapat hanya satu Sub-Registry Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditubuhkan di Kuching dan Kota Kinabalu sejak 2007 bagi tujuan memudahkan pemfailan dan penyampaian dokumen meskipun Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan selama kira-kira 30 tahun dalam negara.
“Januari lepas merekodkan 6,300 aduan berada dalam giliran menunggu untuk diselesaikan di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Buku Civil and Criminals Appeals in Malaysia di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Situasi sedemikian katanya menjejaskan kadar kepantasan pelupusan kes-kes rayuan dari Sabah dan Sarawak kerana tiada panel tetap khusus Mahkamah Rayuan yang diperuntukkan di Malaysia Timur untuk mendengarnya.
Beliau meyakini sekiranya Mahkamah Rayuan diperuntukkan di negeri ini, Sarawak bakal berhak mendapat atau dibenarkan mempunyai panel khusus Malaysia Timur.
“Sudah tentu rayuan daripada kedua-dua negeri Borneo ini akan dilupuskan dengan lebih pantas, mungkin dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
Terdahulu majlis menyaksikan, Tan melancarkan bukunya yang berjudul Civil and Criminals Appeals in Malaysia bagi edisi keempat.
Mengulas lanjut mengenai terbitan bukunya, semenjak buku tersebut diterbitkan pada Disember lepas sehingga Februari lalu, ia mencapai jualan sebanyak 250 buah buku.
“Saya percaya penerbitan buku undang-undang merupakan bahagian penting dalam pembangunan undang-undang yang pada gilirannya akan membantu dalam pentadbiran keadilan di negara kita,” katanya lagi.
Istimewanya, edisi ini telah diubah suai secara meluas dan dikemas kini untuk memasukkan perubahan undang-undang baru-baru ini kepada Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, Akta Makhamah Kehakiman 1964 dan Kanun Prosedur Jenayah serta praktik yang berkaitan dalam tempoh tujuh tahun sejak edisi ketiga.
Ini adalah satu-satunya buku di Malaysia yang merangkumi amalan dan prosedur dalam kedua-dua undang-undang sivil dan jenayah disertakan dengan bahan tambahan yang berkaitan sebagai rujukan yang berguna daripada pihak perundangan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli. – TVS