SIBU, 9 Mac: Kestabilan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak membolehkan pelbagai agenda pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, sebagai sebuah kerajaan yang stabil, Gabungan Parti Sarawak (GPS) gigih melaksanakan tranformasi pembangunan selain sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Datuk Abdullah Saidol ketika menghadiri Program UKAS bersama Komuniti @Tulai bersempena Tahun Baharu Cina hari ini. Foto UKAS
Usaha itu ujarya, adalah kesungguhan kerajaan dalam menentukan hala tuju terbaik demi masa depan Sarawak dan rakyatnya secara keseluruhan.
“Suasana politik di Sarawak yang stabil dan tenang di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membolehkan pentadbiran negeri memberi tumpuan sepenuhnya merancang pembangunan Sarawak dengan lancar dan berkesan.
“Masyarakat Sarawak yang berbilang kaum mesti terus bersatu, jangan mudah terpengaruh dengan mainan politik pihak yang tidak bertanggungjawab, bernada perkauman yang mampu menimbulkan kecurigaan melampau, tidak berasas dan buruk sangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program UKAS bersama Komuniti @Tulai bersempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing untuk membina pusat dialisis di kawasan Meradong yang dicadangkan bernilai RM3.5 juta untuk kegunaan masyarakat Meradong.
Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan peruntukan RM10,000 daripada kerajaan Sarawak manakala RM10,000 daripada beliau sendiri untuk Persatuan Sosial Masyarakat Tulai pada program tersebut.
Turut hadir, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin, Timbalan Pengarah UKAS, Joachim Paggang Jabong dan Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrry Kendawang. -TVS