MIRI, 9 Mac: Kerajaan Sarawak mengamalkan polisi keterangkuman dengan menyantuni semua komuniti yang pelbagai agama, kata Dato Sri Lee Kim Shin.
Perkara itu menurut Menteri Pengangkutan Sarawak ia dibuktikan dengan dengan pengiktirafan kelayakan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).
“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menambah peruntukan untuk Sekolah Persendirian Cina dari RM3 juta pada zaman Tok Nan kepada RM10 juta.
“Untuk agama pula, Kerajaan Sarawak adalah satu-satunya kerajaan dalam negara yang mewujudkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).Premier kita telah meluluskan satu peruntukan yang besar untuk membantu agama-agama lain di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Federation of Chinese Associations (FCA) bahagian Miri pada Khamis.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Lee berharap agar semua rakyat Sarawak bersama-sama menjaga Sarawak daripada sebarang perkara tidak diingini seperti ekstrimis.
“Ekstremisme akan mengakibatkan konflik dan huru-hara serta menggugat kemajuan sesebuah negara.
“Kita tidak boleh membiarkan diri kita terlalu dipengaruhi oleh sesiapa yang menyebarkan ekstremisme,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dan lain-lain. – TVS