MUKAH, 9 Mac: Usaha penduduk kampung melaksanakan Kaul Serahang Kakan di peringkat kampung perlu dikekalkan supaya adat dan budaya kaum Melanau tidak pupus ditelan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, ia adalah tradisi kaum Melanau yang dilaksanakan sejak bertahun-tahun dahulu.

“Kaul Serahang Kakan ini sememangnya menjadi amalan masyarakat Melanau dengan memacak ‘Serahang’ dan kemudian makan bersama-sama penduduk kampung yang hadir.
“Ia adalah sebagai tanda berterima kasih kepada roh alam yang dipanggil sebagai ‘ipok’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Kaul Serahang Kakan di Kampung Petanak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agar upacara seperti ini dilaksanakan setiap tahun untuk mempertahankan adat dan budaya kaum Melanau seterusnya mempromosikannya di peringkat yang lebih tinggi.
“Kaul Mukah sememangnya tidak asing lagi bagi orang ramai kerana banyak yang datang ke Mukah untuk menyaksikan acara ikonik ini.
“Bagi kaul yang diadakan di peringkat kampung, ia dilaksanakan sebelum Kaul Mukah atau Kaul Sungai Tellian.
“Ini kerana Kaul Mukah adalah peringkat akhir kaul setelah selesai kaul di peringkat kampung yang ada di Mukah,” jelasnya.
Justeru, Royston berharap penduduk di kawasan Mukah sentiasa menjaga adat budaya dengan baik sekali gus mempromosikan kepada orang luar untuk mengenali lebih rapat mengenai budaya kaum Melanau. -TVS