SARIKEI, 8 Mac: Dua meninggal dunia selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di simpang Pakan di sini, malam tadi.
Insiden kira-kira jam 11.00 malam itu mengakibatkan, pemandu kereta maut di lokasi manakala seorang penumpang wanita meninggal dunia di Hospital Sarikei.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, dua lagi mangsa wanita yang masing-masing berusia 64 tahun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam di lokasi kejadian.
“Kita difahamkan, kemalangan berlaku ketika keempat-empat mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Pakan manakala lori dari arah yang bertentangan. Pertembungan antara kedua-duanya mengakibatkan kenderaan mangsa mengalami kerosakan yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahmudin, Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei menerima laporan kejadian itu pada jam 11.23 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi bantuan.
Sebaik tiba di lokasi ujarnya, pasukan bomba mendapati, pemandu SUV masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala, seorang lagi mangsa wanita tersepit di tempat duduk belakang.
Katanya, operasi dilakukannya untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa namun sebaik sahaja berjaya di keluarkan, pemandunya disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Bomba turut memberikan rawatan awal termasuk masang ‘cervical collar’ pada leher mangsa yang cedera sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulan untuk rawatan susulan.
“Kita dimaklumkan penumpang wanita itu meninggal dunia di hospital, namun setakat ini bomba tidak dapat mengenalpasti umur kedua-duanya kerana tidak menjumpai kad pengenalan mereka di lokasi kejadian itu,” katanya. -TVS