PUTRAJAYA, 8 Mac: Kementerian Perpaduan Negara menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sedang menjalankan satu kaji selidik untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh masyarakat India di Malaysia.
Kementerian itu menerusi kenyataan berkata, kajian merangkumi aspek cabaran terhadap akses pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan dan program kebajikan sosial.
“Tinjauan ini turut menjadi platform bagi merancang hala tuju program pembangunan sosioekonomi dan membantu pengurusan proses peruntukan dana yang cekap selaras dengan isu-isu utama yang dikenal pasti.
“Kementerian Perpaduan Negara mengalu-alukan penyertaan masyarakat India Malaysia untuk memberi maklum balas bagi membentuk masa depan pembangunan komuniti yang mampan,” menurut kenyataan itu.
Tempoh tinjauan soal selidik ini akan bermula pada 8 Mac 2024 (Jumaat) dan berakhir pada 18 Mac 2024 (Isnin).
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Kementerian Perpaduan Negara atau hubungi pejabat MITRA di talian 03-8886 6221.
Kaji selidik boleh didapati menerusi pautan tertera : https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSetBOKwveCX_fv9Poo7GzfDZXS1TN8vuUyaePOyIUOhPHR7aQ/viewform?usp=sf_link