KUCHING, 8 Mac: Kawasan Damai di sini dicadang untuk dibangunkan menjadi pusat peranginan baharu atau ‘Marina City’ di Kuching.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkaitan cadangan berkenaan.
Sehubungan itu kata Snowdan pihaknya turut mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) giat berbincang dalam memperkasakan industri pelancongan Sarawak.
“Saya bagi pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak telah mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman mengenai perkara ini.
“Ada beberapa perkara yang telah kita nyatakan antaranya kami memerlukan belanjawan dari MOTAC terutamanya dalam meningkatkan kualiti pelancongan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Sarawak di sini, hari ini.
Snowdan memberitahu pihaknya telah mencadangkan agar pelancongan bertaraf tinggi diwujudkan di Sarawak kepada Kementerian Ekonomi.
Dalam pada itu, Snowdan mendedahkan kerajaan negeri bersama MOTAC sedang giat berusaha untuk mencapai sasaran kemasukan 4 juta pelancong pada tahun ini.
“Selain dari bantuan daripada kerajaan negeri, kita juga memerlukan bantuan dalam memperkasakan industri poket pelancongan kepada pelancongan yang ingin berkunjung ke rumah panjang.
“Ini bagi mereka yang ingin merasai pengalaman mereka berada di rumah panjang. Oleh kerana itu industri inap desa ini amat penting dan kita perlu memperkasannya lagi,” katanya lagi.
Sarawak menurut Snowdan merupakan antara negeri yang menepati kualiti bagi Budaya, Pengembaraan, Alam, Makanan dan Festival.– TVS