GEORGE TOWN, 8 Mac: Sejumlah pucuk ganja yang turut digelar sebagai ‘jantung ganja’ merupakan sebahagian daripada 21 kilogram (kg) ganja bernilai RM66,000 yang dirampas polis pada serbuan di sekitar bandar raya ini pada Khamis.
Tiga serbuan itu turut memberkas empat suspek berusia 28 hingga 41 tahun termasuk sepasang suami isteri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek lelaki yang bertindak sebagai ‘runner’ sindiket bersama 5 kg ganja bernilai RM17,000 di kawasan tempat letak kereta di sini.
Katanya, menerusi serbuan kedua di kawasan Tanjung Tokong, polis menahan seorang lelaki yang juga disyaki ketua sindiket.
“Berpandukan maklumat daripada suspek, sebuah kondominium di kawasan sama diserbu dan polis menahan isteri suspek selain merampas 16 kg ganja.
“Turut dirampas adalah ‘jantung ganja’ yang mana permintaannya lebih tinggi dan lebih mahal kerana kuantitinya terhad iaitu sekitar RM5,000 sekilogram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Tambah Kok Chin, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September tahun lalu dengan menyasarkan bagi pasaran tempatan di negeri ini.
“Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah dan seorang daripada mereka mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM7,000 dan sebuah motosikal bernilai RM5,500 bagi siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Mac ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – TVS