BINTANGOR, 8 Mac: Golongan wanita di Sarawak diakui memainkan peranan penting dalam pembentukan modal insan selain bergelar sebagai pemangkin pembangunan negara pada masa depan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Kerajaan Sarawak telah  mewujudkan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap sumbangan besar golongan berkenaan berikutan menjadi tunjang utama kemajuan dan kesejahteraan negeri ini.
“Peranan wanita sangat penting, bukan sahaja dalam menbangunkan komuniti tetapi juga dalam pembinaan negara. Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga memberi pengiktirafan yang sangat tinggi terhadap sumbangan golongan ini.
âSebab itulah, ada antara mereka memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Malah, pelbagai peluang juga diberikan supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara,â katanya selepas menghadiri program Sambutan Hari Wanita Anjuran Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Bintangor hari ini.
Beliau berkata, sambutan Hari w=Wanita diraikan pada setiap tahun merupakan penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa golongan itu yang dilihat sangat signifikan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, sebanyak 300 kuntum bunga diagihkan kepada orang ramai di Pasar Tamu Bintangor sekali gus memeriahkan lagi suasana sambutan hari istimewa tersebut di sini.
Hadir sama, Ketua Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Kaunselor Chieng Ming Kiong, Timbalan Ketua Wanita, Sia Sung Moi, Bendahari, Wong Mee Yieng dan Timbalan Setiausaha, Lau Ai Kiong.- TVS