SRI AMAN, 7 Mac: Peranan kaum wanita diseru agar menampilkan diri untuk bergiat dalam melaksanakan dasar di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kehadiran kaum wanita sebagai salah seorang pemimpin institusi Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) mempamerkan hasrat mereka menjadi pemimpin tidak diabaikan.
Menurutnya, perkara tersebut merupakan salah satu hasrat Kerajaan Sarawak yang mahu melihat sekurang-kurangnya satu per tiga daripada golongan pembuat dan pelaksana dasar adalah kaum wanita.
“Semalam kaum wanita tidak ramai-ramai tetapi hari ini alhamdulillah lebih satu pertiga pemimpin adalah kaum wanita tahniah kepada yang berhormat Datuk Francis kerana memberi peluang kepada kaum wanita.
“Ini salah satu daripada hasrat pihak kerajaan kita agar penyertaan sekurang-kurangnya satu pertiga golongan wanita dalam golongan pembuat dan pelaksana dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) Tahap 1 siri ke-7 (Bil.2/2024) di Hotel Simanggang Sri Aman pada Khamis.
Beliau dalam pada itu turut berharap, segala objektif yang digariskan di dalam kursus kepimpinan masyarakat ini dapat dicapai dalam melahirkan golongan pemimpin yang berintegriti di peringkat akar umbi. -TVS