KUALA LUMPUR, 7 Mac: Sebanyak 56 peratus daripada semua penerbangan sewa khas ke Malaysia pada tahun lepas dilakukan oleh syarikat penerbangan tempatan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini merupakan usaha kementeriannya untuk mengangkat syarikat penerbangan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong asing.
“Pada tahun ini, syarikat penerbangan domestik seperti Malaysia Airlines, Firefly dan Batik Air turut menawarkan perkhidmatan penerbangan sewa khas bagi laluan penerbangan dari bandar-bandar peringkat dua,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (Pakatan Harapan – Bangi) yang ingin tahu sama ada syarikat penerbangan antarabangsa atau domestik yang mendominasi industri penerbangan sewa khas ke Malaysia.
Menjawab soalan asal daripada Syahredzan mengenai langkah diambil kerajaan bagi memastikan penerbangan sewa menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong dan ekonomi, King Sing berkata kementeriannya melaksanakan beberapa inisiatif menerusi Tourism Malaysia.
“Antaranya dengan meningkatkan kekerapan penerbangan melalui penerbangan berjadual dan sewa khas.
“Dalam hal ini, Tourism Malaysia telah menyediakan Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa (GSPC) kepada syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.
Katanya, GSPC adalah bertujuan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dan kapasiti tempat duduk.
Antara penerbangan di bawah GSPC termasuklah Dubai – Kuala Lumpur dan Karachi – Kuala Lumpur oleh Batik Air. -TVS