Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadilah Yusof menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini. Foto, Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Parlimen: Ramalan kemarau dimaklumkan dua bulan lebih awal – TPM Fadilah

ByConnie Grace

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) di 19 lembangan sungai sebagai persediaan menghadapi musim kemarau.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, ini bagi memastikan fungsi sungai sebagai sumber air dikekalkan termasuklah tindakan mitigasi dan persediaan awal oleh pelbagai agensi lain.

Jelas beliau, pemakluman ramalan kemarau dua bulan lebih awal dan amaran kemarau 14 hari lebih awal juga akan dilaksanakan.

“Sehingga kini, tujuh lembangan telah siap dan mula beroperasi manakala sembilan lembangan lain dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2027.

“JPS turut memantau 25 empangan lain bagi memastikan storan adalah pada tahap siap siaga sebagai sumber air domestik dan pertanian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Perikatan Nasional – Rantau Panjang) yang ingin tahu mekanisme penyelarasan antara agensi yang dilaksanakan untuk menghadapi musim kemarau dan usaha memanfaatkan air banjir sebagai persiapan menghadapi kemarau terutama di negeri-negeri yang memerlukan.

Sementara itu Fadilah turut memaklumkan PETRA bekerjasama dengan agensi di peringkat persekutuan dan negeri bagi mencegah pencemaran sumber air terutama semasa musim kemarau.

“(Ini) untuk menjamin keselamatan sumber bekalan air mentah serta bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri bagi operasi pembenihan awan bertujuan untuk meningkatkan paras air di empangan dan pengairan pertanian,” tambahnya,

Pada masa sama jelas beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan turut menyelaras bantuan antara operator air negeri semasa menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau faktor luar jangka dalam memberi bantuan teknikal dan misi bantuan yang berkaitan ke negeri-negeri jiran selaras dengan Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah dimeterai bersama.

“Antara tanggungjawab operator air dalam menghadapi krisis bekalan air adalah merangkumi penyediaan tenaga kerja, jentera, lori tangki. khidmat nasihat dan kepakaran teknikal dan dalam masa yang sama pihak Rejimen 60 Askar Jurutera Diraja (RAJD) turut terlibat dalam membantu pihak operator air bagi negeri yang mengalami krisis bekalan air,” tambahnya. -TVS.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan