KUALA LUMPUR, 7 Mac: Tiga faktor dikenal pasti menjadi punca kerja penyelenggaraan tandas 310 sekolah di Sarawak ditangguhkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini melibatkan kekangan masa, lokaliti dan kekurangan pekerja binaan untuk menyiapkan projek itu pada tahun lepas seperti dinyatakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak.
“Pelaksanaannya akan diteruskan pada tahun ini manakala baki 18 buah sekolah pula digugurkan disebabkan sekolah tersebut adalah sekolah baharu dan masih di dalam tempoh liabiliti kecacatan,” katanya.
Fadhlina berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan tambahan Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak – Betong) mengenai status projek bina baharu atau baik bulih sekolah-sekolah daif di Malaysia serta jumlah sekolah daif skala enam dan tujuh yang belum diangkat untuk diluluskan di bawah program pembinaan sekolah daif mengikut negeri.
Menerusi jawapan sama, Fadhlina memaklumkan, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023 berjumlah RM654.29 juta bagi tujuan kerja penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan dan institusi pendidikan.
“Pelaksanaan program ini melibatkan 8,354 sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM dengan pecahan 8,306 buah sekolah kerajaan serta 48 buah institusi pendidikan.
“Sebanyak RM70,000 diperuntukkan bagi setiap sekolah kerajaan dan RM200,000 bagi setiap institusi pendidikan,” katanya. -TVS