KUALA LUMPUR, 7 Mac: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sebanyak 364 aduan salah laku membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pecahan kesalahan adalah mengikut tiga kategori iaitu kesalahan integriti, governans dan rasuah.
“Pada 2018, sebanyak 53 kes salah laku telah direkodkan bagi kesemua daerah di Sarawak, diikuti 69 kes pada 2019, 32 kes pada 2020, 55 kes pada 2021, 78 kes pada 2022 dan 77 kes pada tahun lepas,” katanya.
Saifuddin menjawab pertanyaan lisan secara bertulis soalan Dr Richard Rapu (Gabungan Parti Sarawak – Betong) mengenai bilangan aduan yang diterima mengenai salah laku anggota PDRM dan pecahan mengikut jenis kesalahan bagi pertanyaan – pertanyaan lisan yang tidak dijawab di Dewan Rakyat.
Sementara itu, menjawab soalan daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Perikatan Nasional-Tanah Merah) mengenai jumlah anggota polis yang dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2023, Saifuddin berkata seramai 1,238 orang pegawai dan anggota polis telah dikenakan tindakan.
“Daripada jumlah ini, seramai 1,112 orang adalah daripada kumpulan Pegawai Rendah Polis (PRP).
“Manakala 126 orang adalah daripada kalangan Pegawai Kanan Polis,” katanya.
Jelasnya, terdapat lima kategori kesalahan yang direkodka iaitu jenayah, rasuah, jenayah syariah, kesalahan berkaitan dadah dan integriti.-TVS