KUCHING, 7 Mac: Platform pelancongan digital terkemuka dunia, Agoda mengiktiraf Miri, Sarawak sebagai antara sembilan destinasi alam semula jadi terbaik di Asia.
Pengiktirafan itu diperakui berdasarkan carian tertinggi menerusi platform Agoda pada Januari 2024 melalui program Eco Deals yang merupakan inisiatif Agoda bersama Tabung Alam Sedunia (WWF).
Menurut Naib Presiden Bersekutu Asia Tenggara Agoda Enric Casals, program tersebut membantu melindungi hidupan liar dan memulihara habitat kritikal di Asia Tenggara.
“Saya amat berbangga dan teruja dengan edisi ketiga Eco Deals ini serta Agoda berjanji untuk menderma sehingga AS$1 juta bagi disalurkan terus bagi membiayai berbagai projek pemuliharaan WWF di seluruh Asia Tenggara.
“Program Eco Deals dapat membantu pelancong ‘memberi kembali’ bagi melindungi keajaiban alam semula jadi kepada generasi yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Antara lain yang turut disenaraikan adalah Ooty, India, Lombok, Indonesia, Hakone, Jepun, Pulau Siquijor, Filipina, Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan, Hualien, Taiwan, Khao Yai, Thailand dan Dalat, Vietnam.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi setiap tempahan yang dilakukan menerusi platform itu, AS$1 akan didermakan kepada projek berkenaan dan di samping itu, pelancong akan akan menerima diskaun sehingga 15 peratus.
Miri merupakan pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu yang disenaraikan oleh Pertubuhan Pendidkan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia yang menempatkan hutan hujan, hidupan liar yang kaya, dan gua yang luas termasuk Gua Niah yang diiktiraf sebagai antara gua terbesar di dunia. – TVS