KUCHING, 7 Mac: Malaysia sekali lagi akan menjadi tuan rumah untuk Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2025.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Roslan Tan Sri Abdul Rahman berkata, forum akan menjadi platform dalam mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam sektor pelancongan.
“Malaysia, sebagai pemegang jawatan Pengerusi ASEAN akan menganjurkan Forum Pelancongan ASEAN di Johor Bahru.
“Forum tersebut sudah tentu menjadi platform yang akan memberikan pengalaman yang begitu unik dalam membentuk kerjasama dalam sektor pelancongan di masa akan datang,” katanya.
Roslan berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Shaharuddin Abu Sohot pada Majlis Makan Malam Jawatankuasa Pelancongan ASEAN di Hotel Sheraton, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, dengan tema ‘Unity in Motion – Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow,’ ATF 2025 memberikan fokus kepada usaha membina rasa kebersamaan dan kerjasama erat merentasi sempadan geografi serta kepelbagaian budaya.
“Matlamat forum ini dianjurkan adalah untuk mewujudkan visi bagi masa depan pelancongan ASEAN yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
“Untuk mencapai visi itu, kita semua mesti bekerjasama rapat untuk melaksanakan semua projek dan inisiatif yang telah dipersetujui bersama di bawah bidang kuasa NTO ASEAN,” katanya.
Kali terakhir, ATF diadakan di Malaysia adalah pada 2014 dengan penerimaan baton penganjuran kali ini disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing.
Dikenali dengan budaya dan biodiversiti yang kaya, Malaysia menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung dengan keramahan penduduknya, tradisi unik, hidangan yang lazat dan persekitaran alam semula jadi yang indah. -TVS