DARO, 7 Mac: Lebih 100 orang pelajar sekolah menengah dan rendah menyertai program gunting rambut percuma sebelum kembali ke sekolah, anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Daro di sini, pada Khamis.
Timbalan Pengerusi Saberkas Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata berkata, program khidmat sosial itu bermatlamat membantu meringankan beban ibu bapa membuat persiapan menjelang penggal persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Misi utama program ini merapatkan hubungan Saberkas dan masyarakat Daro. Melihat pada sambutan yang diterima, kita gembira penganjuran program mencapai sasaran dan mendapat respon yang begitu menggalakkan.
“Sehubungan itu, saya mewakili jawatankuasa penganjur merakamkan penghargaan atas sokongan padu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad terhadap program ini ,” katanya kepada TVS hari ini.
Mohd Faizal berkata, mendukung konsep perpaduan, program yang bermula 9.30 pagi hingga 1.30 petang itu turut menggunakan khidmat sukarela tukang gunting profesional, Bella dari Fortythree Barbershop.
Menurutnya, program seumpama itu amat dinanti-nantikan oleh penduduk Daro kerana bukan sahaja memudahkan urusan mereka tetapi juga meringankan beban ibu bapa terutama bagi yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
“Dengan berbaki lagi beberapa hari sebelum sesi persekolahan bermula, pasti ramai ibu bapa sibuk membuat persiapan dan teruja apabila anak-anak bakal kembali ke sekolah.
“Bagi segelintir pihak, ia mungkin hanya sekadar dapat gunting rambut percuma namun sebaliknya, untuk golongan memerlukan, program sebegini sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan,” katanya yang juga Exco Saberkas Sarawak.
Hadir sama Ketua Kaum Mokhtar Hasim dan Ketua Kaum Ali Aban. – TVS