KUALA LUMPUR, 6 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) bertindak membekukan akaun mangsa yang terlibat dengan penipuan ‘scammer’ sebagai langkah proaktif membendung kerugian lebih besar.
Kenyataan TH hari ini menegaskan, tindakan pembekuan akaun dilakukan dalam kes melibatkan seorang pendeposit apabila mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.
“TH telah mendapati bahawa pendeposit terlibat merupakan mangsa penipuan scammer, dimana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.
“Namun begitu, TH telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar, tiga hari sebelum aduan dibuat setelah mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, TH juga sedang melakukan siasatan atas perkara ini berikutan mangsa terlibst telah membuat laporan polis.
“TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru itu, bagi mengelakkan perkara seumpama ini berulang kembali, pihak TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.
“TH ingin menegaskan bahawa platfom atas talian THiJARI telah dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.
“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI,” tambah kenyataan itu. -TVS