MIRI, 6 Mac: Rata-rata syarikat bas dan penumpang teruja dan tidak sabar menunggu pembukaan Terminal Bas Miri mula menjalankan beroperasi bagi menyediakan kemudahan pengangkutan kepada orang ramai.
Terminal Bas Miri Sentral yang menelan belanja RM26 juta sebelum ini telah mencapai status siap sebanyak 97 peratus ketika lawatan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin pada November tahun lalu.

Menerusi tinjauan TVS hari ini, pekerja sebuah syarikat bas yang beroperasi di Terminal Bas Pujut, Jarani Jaraman bersyukur akhirnya mereka memiliki sebuah terminal bas yang lebih luas dan selesa.
“Kami sudah lama menunggu terminal yang cantik ini dibina untuk mengelak kami berhujan dan berpanas, ia turut disediakan dengan penghawa dingin. Tempat parkirnya juga teratur, jadi kami rasa tidak sabar mahu berpindah ke terminal baharu ini, ” kataya.
Sementara itu, seorang penumpang yang kerap menggunakan bas untuk ulang-alik pergi bekerja Iskandar Malip pula berharap agar tahap keselamatan di Terminal Bas Miri Sentral nanti akan lebih terjamin.
“Saya sering juga menaiki bas pada malam atau tengah malam, harap tempat baharu ini lebih menjamin keselamatan orang ramai dengan disediakan pengawal keselamatan.
“Kalau siapa yang menggunakan bas pada sebelah malam memang agak sunyi sikit, lebih selamat jika ada pengawal keselamatan khususnya kepada golongan wanita,” ujarnya.
Sebelum ini Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Terminal Bas Miri Sentral menyediakan perkhidmatan bas jarak jauh dan bas pelancong ke Kuching dan Indonesia.
Terminal bas ini boleh memuatkan 21 bas pada satu-satu masa. – TVS