KUCHING, 6 Mac: Seramai 3,435 anggota polis yang terdiri daripada 2,340 pesara dan 1,075 orang yang masih berkhidmat menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) Kontinjen Sarawak sejak tahun 2014 yang lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, daripada jumlah itu 20 pesara polis menerima anugerah berkenaan di rumah atas faktor kesihatan.
Menurutnya, sejak tahun 2014 hingga masa kini, Kontinjen Sarawak telah menyempurnakan majlis anugerah tersebut sebanyak 13 siri secara istiadat dan lima siri tanpa istiadat.
“Mengikut Portal e-Pesara PDRM, terdapat 1,767 orang pesara polis yang layak tetapi belum lagi menerima pingat ini.
“Untuk tahun ini Kontinjen Sarawak akan mengadakan empat lagi siri istiadat penganugerahan (P.J.P.N) yang bakal diadakan pada bulan April dan Julai akan datang,” katanya ketika sidang media selepas majlis penganugerahan pingat tersebut di Kem PGA Batu Kawa hari ini.
Seramai 374 pesara polis Kontinjen Sarawak menerima Anugerah Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) Kontinjen Sarawak dalam siri satu dan dua pada tahun 2024.
Beliau berkata, pingat itu melambangkan jasa kepahlawanan mereka yang pernah berkhidmat semasa era darurat di Tanah Melayu antara 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960, era Insurgensi Komunis (17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989) serta darurat di Sabah dan Sarawak (1962 hingga 17 Oktober 1990).
“Saya menyeru kepada pesara dan bekas polis Sarawak agar segera mendaftar dan mengemaskini data mereka dan terus membuat pemohonan pingat di portal e-Pesara PDRM.
“Mereka boleh mendaftar sendiri ataupun dengan bantuan ahli keluarga di cawangan Hal Ehwal Pesara di IPD yang berdekatan untuk maklumat lanjut,” jelasnya.-TVS