LIMBANG, 6 Mac: Sarawak bersedia membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada negara jiran, Brunei Darussalam menerusi Limbang menjelang 2025.
Keyakinan itu disuarakan Premier sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg susulan Limbang akan mempunyai keupayaan 100 peratus bekalan air dan elektrik pada tahun hadapan.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang berbincang dengan Brunei Darussalam yang dilihat menunjukkan minat untuk mengimport tenaga boleh diperbaharui dari negeri ini.
“Dengan loji penapisan yang akan kita gunakan dan ia sedang dalam pembinaan untuk kita salurkan sumber tenaga boleh diperbaharui ke Sabah.
“Sekarang ini, pihak SEB berbincang dengan Brunei, sebab mereka juga berkehendakkan dengan sumber tenaga kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Projek Tebingan Sungai Limbang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Sarawak (SDCCM) Bil 1. 2024 di sebuah hotel di sini.
Usai itu, Abang Johari mengadakan lawatan di tiga tapak projek di sekitar Limbang masing-masing di Jambatan Sungai Limbang Sungai Bunut No 2, Projek Kompleks Kerajaan Negeri (IAC) dan tapak projek Tebingan Sungai Limbang.
Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, Kerajaan Sarawak merancang untuk meneroka dan membekalkan tenaga dari sumber kuasa air melata dari Sungai Limbang dan Sungai Trusan, Lawas.
“Kita akan buat kajian untuk bekalkan sumber kuasa air melata yang terdapat di Sungai Limbang dan Sungai Trusan dengan kajian ini tidak melibatkan pengambilan tanah sama ada Limbang atau Lawas kerana ia menerusi aliran air sungai.
“Ia adalah satu teknologi baharu, misalnya, di Kanada, 50 peratus tenaga di negara itu ialah dari sumber kuasa air melata,” katanya. – TVS