KUCHING, 6 Mac: Rundingan diplomatik di antara Kerajaan Persekutuan dan Blok Borneo memudahkan sembilan tuntutan asas berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk diselesaikan sepenuhnya.
Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata meskipun memakan masa namun kedua-dua pihak telah mencapai sepakat untuk menyelesaikan proses tuntutan itu.
Bagaimanapun, beliau memberi saranan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengumumkan tempoh masa bagi menuntaskan tuntutan-tuntutan MA63 yang lain.
“Saya kira pihak kerajaan perlu mengumumkan tempoh masa yang diperlukan dan proses perundangan yang perlu dilalui.
“Perkara ini perlu diberi penjelasan dengan lebih baik kepada rakyat supaya mereka dapat menilai sejauh mana perkara itu dapat dicapai berdasarkan tempoh yang kerajaan sasarkan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan sembilan tuntutan asas MA63 itu adalah penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah serta pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
Turut selesai sepenuhnya ialah pemberian kuasa mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak; Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); dan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
Selain itu ialah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah; pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; penyediaan garis panduan penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak serta penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah. – TVS