KUALA LUMPUR, 6 Mac: Pembentangan Usul Junjung Titah Diraja oleh Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau di Parlimen hari ini mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Ketika Anyi memohon supaya Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk membaiki laluan balak sementara menunggu kelulusan peruntukan untuk membina jalan baharu, Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali bangun menyatakan sokongan.
“Saya sokong 100 peratus apa yang diminta oleh Baram,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Meneruskan ucapannya, Anyi berkata, beliau dimaklumkan oleh agensi kerajaan terlibat bahawa perbelanjaan mencecah RM100,000 diperlukan untuk menyelenggara setiap satu kilometer (km) jalan balak yang digunakan oleh penduduk di kawasan itu.
“Perbelanjaan berkenaan diperlukan untuk meratakan laluan, membersihkan batu serta membuat parit.
“Di Baram berdasarkan pengiraan saya terdapat sepanjang 622 km jalan balak yang sudah tidak diselenggara ketika ini kerana syarikat pembalakan sudah menghentikan operasi mereka,” katanya.
Tambah Anyi, tujuan beliau mencadangkan peruntukan interim berkenaan ialah demi kelangsungan hidup rakyat di sana.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong kemudian bangun mencelah bagi menyatakan sokongan beliau kepada Baram.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, celahan Timbalan Menteri ketika Usul Junjung Titah Diraja jarang berlaku namun beliau memberi kebenaran kepada Wilson Ugak untuk menyatakan sokongannya.
Wilson berkata, beliau memahami keluhan Anyi kerana kawasan Hulu Rajang yang diwakilinya juga sangat luas dan terletak di pedalaman Sarawak, sama seperti Baram.
“Walaupun saya Timbalan Menteri dan tidak boleh menyokong tetapi saya bersimpati dengan keluhan Baram kerana sejak tiga penggal lalu beliau sentiasa bersuara mengenai pembangunan luar bandar.
“Saya sudah pergi ke Baram dan betul apa yang diperkatakannya (masalah jalan rosak).
“Jadi saya mohon kepada Menteri, Timbalan Menteri yang berkaitan, pergilah jenguk Baram supaya rakyat di luar sana faham, betul atau tidak betul, biarlah (Menteri, Timbalan Menteri) lihat sendiri,” katanya.
Menerusi lawatan berkenaan Wilson berkata, hasrat untuk melaksanakan pembangunan seimbang di seluruh negara akan dapat dilaksanakan.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail kemudian turut bangun menyokong Anyi.
“Ampang simpati dengan apa yang dibangkitkan oleh Baram dan rakan – rakan kita di Sabah dan Sarawak.
“(Oleh itu) daripada buat pembinaan lebuh raya baharu di Ampang, saya cadangkan alihkan ke Baram dan tempat – tempat lain yang lebih sesuai,” katanya.
Menutup ucapan, Anyi berkata, beliau berharap komitmen Kerajaan Madani akan dapat membangunkan Baram walaupun kawasan itu tertinggal jauh di belakang.
“Menerusi akses perhubungan jalan, internet, klinik dan sekolah yang sempurna untuk penduduk yang tinggal bertaburan, maka Baram akan terus maju walaupun kita kejar dari belakang.
“Inilah perjuangan kita dan setiap kali Dewan Rakyat bersidang, kita tidak akan putus asa kerana rasa tanggungjawab untuk kawasan kita,” katanya.-TVS