KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited untuk memperbaiki kualiti pencapaian murid di negara ini dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pencapaian negara menunjukkan trend yang meningkat sejak penyertaan pada PISA 2009 namun menurun dengan agak ketara dalam PISA 2022.
Kata beliau, sebanyak lapan negara ASEAN mengambil bahagian dalam kajian PISA 2022 daripada jumlah keseluruhan 81 buah negara.
“Dapatan PISA 2022 menunjukkan Singapura, Vietnam dan Brunei mengatasi Malaysia dalam ketiga-tiga domain literasi yang ditaksir manakala Malaysia mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kah Woh menjawab pertanyaan Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional – Padang Terap) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah tindakan kementerian berikutan prestasi merosot Malaysia dalam PISA 2022 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Sementara itu beliau turut memaklumkan, Literasi Matematik sebanyak 58 buah negara mencatatkan prestasi penurunan dalam mata skor berbanding dengan PISA 2018.
“Dua negara kekal dan 13 buah negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor.Bagi Literasi Saintifik sebanyak 36 buah negara mencatatkan penurunan dalam mata skor, dua negara kekal dan 34 buah negara menunjukkan peningkatan mata skor.
“Bagi Literasi Bacaan sebanyak 55 buah negara mencatatkan penurunan dalam mata skor dan 17 buah negara menunjukkan peningkatan dalam mata skor,” tambahnya.
Sementara itu beliau memaklumkan, KPM akan terus mempergiatkan usaha dalam untuk mencapai sasaran 6o peratus pelajar mengikuti aliran Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ketika ini ujarnya peratusan pelajar yang mengambil mata pelajaran tersebut adalah sebanyak 40.13 peratus di peringkat kebangsaan.
“KPM sentiasa prihatin dengan pembangunan mata pelajaran STEM, kita dalam usaha untuk mencapai peratusan yang telah ditetapkan,” katanya. -TVS