KUALA LUMPUR, 6 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan Pegawai Rendah Polis berpangkat Konstabel gred YA1 menerima gaji pokok sebanyak RM1,441 sebulan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain itu anggota berkenaan juga menerima Imbuhan Tetap Perumahan sebanyak RM300, Imbuhan Tetap Khidmat Awam (RM115), Imbuhan Sara Hidup (COLA) RM350 dan Bayaran Insentif Perkhidmatan Awam sebanyak RM200.
Tambahan elaun berkenaan katanya menyaksikan jumlah gaji kasar anggota polis gred berkenaan ialah sebanyak RM2,407 sebulan serta turut menikmati kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM105.
“Gaji pokok yang diterima oleh seseorang anggota polis bukanlah satu amaun yang statik kerana Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa mengkaji dan anggota akan menerima Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) apabila genap setiap tahun perkhidmatan, tertakluk kepada prestasi pegawai.
“Emolumen yang merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap dan lain-lain elaun yang diberi berdasarkan penugasan, kepakaran dan risiko tugas yang jumlah keseluruhannya melebihi paras gaji minimum sebanyak RM1,500 yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Shamsul Anuar menjawab soalan Datuk Awang Hashim (Perikatan Nasional – Pendang) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan kadar gaji baharu untuk anggota polis memandangkan kadar gaji terkini tidak kompetitif dengan keadaan ekonomi semasa dan tidak sepadan dengan tanggungjawab dan peranan anggota polis menjaga keselamatan negara.
Sementara itu beliau memaklumkan kajian secara komprehensif melibatkan penambahbaikan struktur gaji, elaun dan kemudahan bagi semua pegawai perkhidmatan awam termasuk anggota polis dan dijangka akan dilaksanakan pada 2025.
Langkah berkenaan katanya selaras dengan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam dan seiring dengan aspirasi pembangunan Malaysia MADANI yang mana kerajaan sedang melaksanakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Kementerian sentiasa menyemak emolumen membabitkan gaji dan elaun serta kemudahan anggota keselamatan dan penguat kuasa termasuk anggota polis bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.
“Sebagai contoh, kerajaan telah mengemas kini struktur gaji dan skim perkhidmatan polis pada 2016 di bawah Rasionalisasi Skim Perkhidmatan PDRM bagi Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Tambah beliau, di bawah SSM, struktur gaji anggota polis ditambah baik berdasarkan pariti dengan skim-skim perkhidmatan beruniform lain. -TVS