KUALA LUMPUR, 6 Mac: Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyenaraikan 497 entiti di bawah Senarai Amaran Pengguna Kewangan sejak 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Kata beliau, senarai itu merupakan panduan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap entiti atau skim yang mungkin dianggap sebagai berlesen atau dikawal selia oleh BNM.
“BNM telah mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat-syarikat yang mendakwa memperoleh lesen atau kelulusan BNM termasuk menyenarai di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan serta mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Hui Ying menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Barisan Nasional – Pekan) mengenai keberkesanan BNM memperoleh semula aset atau wang yang diperdayakan melalui penipuan pelaburan oleh syarikat yang menipu pelaburnya dengan mengaku mempunyai lesen dan kelulusan dari BNM.
Sementara itu, Hui Ying berkata, penipuan pelaburan atau skim Ponzi dalam talian dipantau oleh pelbagai agensi namun bergantung kepada elemen kesalahan.
“Ini termasuk agensi penguatkuasa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mengambil pelbagai tindakan untuk membanteras penipuan kewangan.
“Pada 2023, SC telah memasukkan 315 syarikat kedalam Senarai Peringatan Pelabur dan pengeluaran lima notis henti operasi,” katanya. -TVS