MUKAH, 6 Mac: Lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes curi motorsikal di sini ditahan susulan menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superitendan Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang Isnin lalu.
Sebelum itu katanya, suspek dilihat menunggang sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di bahagian hadapan dan belakang berhampiran sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Mukah – Selangau.
“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal model Honda EX5 berkenaan ada dilaporkan hilang di hadapan sebuah premis perniagaan di bandar Mukah pada 14 Januari lalu.
“Suspek yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah direman selama 14 hari bermula 5 Mac bagi melengkapkan siasatan. Kes ini disiasat dibawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Katanya, kes ini juga disiasat di bawah seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(3) Akta yang sama iaitu memperuntukan hukuman denda RM 10,000 atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan enam kali sebatan.
“Sebelum ini, IPD Mukah juga berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes kehilangan tiga buah motosikal di daerah ini,” ujarnya. – TVS