LIMBANG, 6 Mac: Bahagian Limbang akan menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan penting dengan beberapa siri projek mega berimpak tinggi yang dijadualkan dari 2025 hingga 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara projek itu ialah pembinaan Lebuhraya Pesisir Utara yang dilengkapi dengan empat lorong.
Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM6.1 bilion bagi pelaksanaan projek itu.
“Disebabkan pembangunan pesat berlaku di sini, mulai tahun depan hingga 2030, kita akan melaksanakan projek mega pembinaan Lebuhraya Pesisir Utara menghubungkan Limbang melalui Brunei, serta Miri ke Limbang dan seterusnya ke Lawas.
“Kita juga akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaan lapangan terbang dan pelabuhan baharu yang akan menghubungkan ke lebuh raya ini pada masa hadapan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga akan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Limbang sedia ada bagi membolehkan pesawat jet mendarat di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Projek Tebingan Sungai Limbang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga akan membina jalan yang menghubungkan Tebingan Sungai Limbang ke jambatan bandar, memudahkan perhubungan yang lebih lancar dan meningkatkan kebolehcapaian di dalam Limbang.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu, sejumlah 93 daripada 226 projek pembangunan di Bahagian Limbang telah dilaksanakan setakat 29 Februari.
“Sebanyak 266 projek telah diperuntukkan untuk Limbang dengan siling peruntukan RM462.1 juta iaitu nilai projek yang harus dilaksanakan di Limbang.
“Sebanyak 93 projek telah dilaksanakan dengan jayanya, iaitu lebih kurang 37 peratus, 91 projek lagi dalam pelaksanaan dan baki 57 projek lagi dalam perancangan,” katanya. – TVS