KUCHING, 6 Mac: Sarawak menjadi tumpuan utama pada ITB Berlin 2024 dengan pelancaran kempen ‘Gateway to Borneo’ yang memberi nafas baharu kepada jenama, selain meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo yang merangkumi Kalimantan, Sabah dan Brunei.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi kempen itu, Sarawak berhasrat untuk meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama, mempelawa pengembara dari seluruh dunia untuk meneroka negeri ini.
Kempen itu yang selaras dengan tema ITB 2024, ‘Take Travel Technology to the Next Level Together’, menandakan titik permulaan era baharu pelancongan digital dan sedia untuk berkongsi dengan dunia mengenai Budaya (Culture), Pengembaraan (Adventure), Alam Semula Jadi (Nature), Makanan (Food) dan Perayaan (Festivals) (CANFF).
“Pembaharuan logo destinasi ‘Sarawak More to Discover’ (SMTD) yang mengekalkan semangat dan keterujaan strategi pemasaran wilayah juga meletakkan Sarawak sebagai sebuah wilayah dengan kepelbagaian budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan.
“Logo STMD berfungsi sebagai gambaran visual hutan hujan asli Sarawak, daya tarikan perairan pantainya dan kepelbagaian etnik penduduknya yang berwarna-warni.
“Logo itu juga mempamerkan kemegahan burung Kenyalang, simbol ikonik yang sinonim dengan jolokan Sarawak yang dihargai, ‘Land of the Hornbills’,” ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau sangat teruja untuk memberi pendedahan kepada para pengunjung mengenai evolusi naratif pelancongan Sarawak menerusi kempen ‘Gateway to Borneo’.
Ujarnya, ia bukan sekadar perbezaan geografi tetapi juga merangkumi estetika kontemporari dan abadi, sesuai dengan cita rasa penonton.
“Langkah strategik itu bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami terhadap pendigitalan tetapi juga menyerlahkan peranan penting Sarawak sebagai pintu masuk ke Borneo,” katanya menerusi kenyataan sama.
Untuk rekod, ITB Berlin 2024 berlangsung di Tapak Pameran Berlin bermula 5 hingga 7 Mac 2024.
Bagi penganjuran edisi tahun ini, konvensyen antarabangsa itu memberi fokus untuk menganalisis latar belakang dan peluang transformasi digital dengan lebih meluas dan lebih terperinci berbanding sebelum ini. – TVS