SRI AMAN, 6 Mac: Jalan raya yang mengalami kerosakan adalah kesan daripada pergerakan keluar masuk kenderaan berat seperti lori yang mengangkut kelapa sawit melebihi muatan.
Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak Sarawak Oil Palm Plantation (SOP) agar penyelesaian dapat diambil bagi mengelakkan kerosakan jalan perkampungan yang berterusan.
Katanya, usaha bagi membaiki jalan tersebut perlu dilakukan agar kerosakan tersebut tidak menjejaskan pengguna jalan raya yang lain sehingga menyukarkan perjalanan mereka serta mendedah kepada bahaya yang lain.
“Jadi jalan ini melibatkan ramai kenderaan yang masuk keluar lebih lagi SOP, jadi kita memohon pihak JKR untuk minta tolong SOP.
“Sebab lori tadi semasa kami masuk ia panjang besar dan ini adalah salah satu punca kerosakan dan jika jalan rosak sama-sama tolong-menolong baiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat oleh agensi pelaksana JKR Bahagian Sri Aman dan Kontraktor Projek menaik taraf Jalan masuk sepanjang lapan kilometer dari simpang utama ke kawasan Rumah Panjang Ulu Undop Batu Lintang, Sri Aman hari ini.
Tambahnya, pihak SOP yang menggunakan jalan perkampungan turut berperanan penting dalam membantu JKR membaik pulih laluan yang mengalami kerosakan.
Menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), organisasi terlibat bersama JKR membantu menjaga dan membaiki kerosakan jalan raya yang berlaku. -TVS