KUALA LUMPUR, 5 Mac: Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menganjak penetapan waktu di Semenanjung Malaysia daripada GMT+8 kepada GMT+7, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, sekiranya perubahahan itu dilakukan, ianya akan membebankan rakyat.
“Secara umumnya, perbezaan waktu sejam di antara GMT+8 dan GMT+7 tidak mempengaruhi kehidupan seharian (kerana) manusia boleh mengadaptasi perubahan persekitaran dengan baik berdasarkan perbezaan yang sedikit ini,” katanya.
Chin Tong menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional-Tumpat) mengenai cadangan untuk menimbang agar waktu Semenanjung Malaysia ditukar kepada GMT+7 berdasarkan kedudukan geografi dan pergerakan matahari yang sebenar.
Sementara itu, Chin Tong berkata, GMT+8 dipilih kerana didapati lebih sesuai termasuk penjimatan ke atas waktu siang serta impaknya ke atas kebiasaan kehidupan rakyat Malaysia.
“Satu lagi faktor lain ialah penyeragaman ini mengikut amalan antarabangsa.
“Pada tahun tersebut juga, Singapura telah bersetuju untuk mengikut jejak langkah Malaysia dengan menetapkan waktu standardnya 8 jam kehadapan GMT (Greenwich Mean Time) walaupun secara geografinya, ia berdekatan dengan garis longitud 104 darjah timur atau garis masa GMT+7,” katanya. -TVS